December 28, 2010

Kunjungan Pengajar Sekolah Tahfiz Songkla, Thailand

Pada 22 Disember lalu, dua orang tenaga pengajar Sekolah Tahfiz di Songka, Thailand telah berkunjung ke MIAB dalam usaha mereka untuk membuat kutipan sumbangan kewangan untuk menyiapkan bangunan sekolah mereka. Katanya, sekitar RM20,000.00 lagi diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan bangunan tersebut. Walau pun belum siap sepenuhnya, seramai 100 orang pelajar sedang belajar di sekolah berkenaan.



Jika kedapatan tuan/puan yang ingin memyumbang (kewangan) sama ada untuk menyiapkan bangunan atau pengurusan sekolah, sila berhubung dengan saya Dr Karim (019-9135283) atau Ustaz Rifqi bin Myiddin, Imam Masjid Jamek Tan Sri Aminuddin Wahid Taman Universiti (016-7514005).

Selamat Pengantin Baru

Tuan Imam 2 MIAB Sdr Muhammad Ismail bin Hj Mahmod (al-Hafiz) telah mengakhiri zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinannya pada 25 Disember lalu dengan gadis pilihannya Cik Nor Hidaya bt Noah daripada Taman Universiti.


Bagi pihak warga MIAB saya ucapkan tahniah kepadanya. Semoga Allah mengurniakan ketenangan, keberkatan dan dipanjangkan jodohnya sehingga akhir hayat, ... dan dapat pula memberikan sumbangan bakti yang berterusan kepada ahli qariyah MIAB Taman Sri Pulai.

December 25, 2010

Hadiri Forum Maal Hijrah 1432 Peringkat Kulaijaya

Dr Karim Deraman Pemangku Pengerusi, En Naam bin Parlan Setiausaha dan Hj Ahmad bin Imbar AJK MIAB telah menghadiri Forum Perdana sempena Maal Hijrah Tahun 1432H Peringkat Kulaijaya yang telah diadakan pada 18 Muharram  bersamaan 24 Disember 2010 Jumaat malam Sabtu bermula jam 8.00 malam dan berakhir jam 12 malam di Dataran Niaga Felda Inas. Forum tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kadi  dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulaijaya dengan menampilkan tiga ahli panel iaitu Ustazah Rafizah daripada Pejabat Agama Batu Pahat, Ustaz Mohd Fairus Ali Akhbar daripada Pejabat Agama Kota Tinggi dan Ustaz Mohd Nasri Abdul Rahman daripada Pejabat Agama Johor Bahru. Tuan Kadi Sheikh Hj Fahmi A Samad telah mempengerusikan majlis tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Tuan Kamarudin Abdullah Pegawai Daerah Kulaijaya, YB Kamaruzaman Ali Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai, Tuan Zulkifli Yusuf Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Pengurus Felda Inas dan Pengarah Hospital Kulaijaya.

Sebelum forum berlangsung, penyampaian hadiah kepada masjid dan surau cemerlang Daerah Kulaijaya bagi tahun 2010 turut diadakan. Katagori masjid, tempat pertama dimenangi Masjid Intan Abu Bakar Taman Sri Pulai, kedua Masjid Kampung Rahmat dan ketiga Masjid Felda Inas. Manakala katagori surau pula, tempat pertama dimenangi Surau Ar-Radzuan Taman Dawani, kedua Surau As-Solihin Taman Senai Baru dan ketiga Surau Al-Hidayah Kampung Sri jaya, Kulaijaya.

Pemangku Pengerusi MAIB sedang menerima cenderahati 
daripada Tuan Kamarudin Abdullah, Pegawai Daerah Kulaijaya.

December 24, 2010

Pelancaran Blog MIAB

Alhamdulillah, satu blog MIAB telah dibangunkan guna untuk menghebahkan aktiviti yang telah dan akan dijalankan oleh MIAB.Selain itu, beberapa artikel berkaitan untuk dihebahkan kepada ahli qariah juga dimuatkan. Pelancaran rasmi oleh Tuan Sheikh Hj Fahmi A Samad, Kadi Daerah Kulaijaya pada Khamis malam Jumaat 23 Disember 2010 yang lalu.


 Tuan/puan yang ingin mengetahui akativiti terdekat, mahu pun aktiviti yang telah berlangsung, sila layari blog MIAB atas nama masjidsripulai@blogspot.com.

Bantuan Anak Yatim 2010

Majlis penyampaian bantuan kepada-anak orang anak yatim bagi kariah Taman Sri Pulai telah diadakanpada 23 Disember 2010 Khamis malam Jumaat. Seramai 28 orang penerima telah menerima sumbangan daripada Tuan Kadhi Daerah Kulaijaya, Tuan Sheikh Hj Fahmi A Samad. Tuan Hj Hasan Mohamad, Penggerak Masjid Senai/Kulaijaya turut hadir pada majlis berkenaan.












December 20, 2010

KELAS ASAS QURAN/TAHFIZ

Alhamdulillah, seramai sembilan orang remaja Taman Sri Pulai telah mengikuti kelas di atas dianjurkan oleh MIAB pada 20 Disember 2010. Naim Firdaus bin Razali, Naim Fahmi bin Razali, Sumardin Pratama Inda, Muhammda Zaidan bin Masek, Muhammad Haziq Asyraf bin Muhammad Yahya, Muhammad Hazim Aizat bin Muhammad Yahya, Muhamad Iqbal bin Shapie, Abdul Qayyum bin Karim dan Abdul Muhahaimin bin Karim telah mengambil bahagian. Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM100.00.

Kelas yang julung-julung kali diadakan selama lima hari (sehingga 24 Disember 20) itu dikendalikan Abdul Aziz bin Karim al-Hafiz (pelajar Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah Kelantan) dan dibantu Abdul Halim bin Karim (pelajar Maahad Tahfiz Sains, Bachok Kelantan).




InsyaAllah dua orang daripada mereka iaitu Abdul Muhaimin bin Karim dan Naim Firdaus bin Razali telah terpilih untuk mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz Sains, salah sebuah sekolah ternama di Kelantan mulai 2 Januari 2011 ini. Warga AJK MIAB mengucapkan selamat maju jaya dan dapat menyumbangkan tenaganya dari masa ke semasa kepada ummah terutamanya kepada MIAB dan penduduk Taman Sri Pulai.

CERAMAH MAAL HIJRAH

Pada Khamis malam Jumaat 16 Disember lalu telah berlangsung ceramah Maal Hijrah 1432. Ceramah tesebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Rifqi bin Myidin. Diantara tetamu yang sempat hadir ialah En Abas, Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh dan Tn Hj Hasan Mohamad Penggerak Masjid Kawasan Senai-Kulai.

Dalam ceramah tesebut Ustaz Rifqi menjelaskan bahawa terdapat tiga kali hijrah; Hijrah para sahabat Nabi ke Habashah, Hijrah Nabi ke Taif dan Hijrah Nabi dan para sahabat ke Yathrib. Hijrah ke Habashah para sahabat mendapat layanan baik daripada Raja Najashi, manakala di Taif Baginda Nabi mendapat tentangan dan balingan batu daripada penduduknya. Manakala penghijrahan ketiga ke Yathrib mendapat sanjungan dan sambutan yang baik daripada penduduknya. Persaudaraan islam yang erat antara golongan Muhajirin dan Ansor berlaku dengan akrab dan ini telah menyebabkan Agama Islam dapat berkembang dengan baik.

Ditengah-tengah perjalanan Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq hijrah ke Yathrib telah diceritakan tentang penglibatan golongan muda seperti Saiyidina Ali bin Abi Talib, Asmak bt Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar dan lain-lain. Binatang seperti labah-labah, burung merpati dan kambing juga terlibat.


December 15, 2010

SAYYIDIL ISTIGHFAR/PENGHULU ISTIGHFAR

Nabi Muhammad Sallalahu Alaihis-Salam  bersabda yang bermaksud
 “Barangsiapa yang mengucapkan (penghulu istighfar ini) pada waktu siang dengan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum senja, maka dia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya pada waktu malam dengan meyakininya, lalu dia mati sebelum subuh, maka dia termasuk penghuni syurga”. (HR Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan lainnya dari Syaddad bin Aus)
Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau telah Menjadikan aku dan aku adalah hambaMu. Aku akan menunaikan janjiku terhadap Mu setakat yang aku upaya. Aku berlindung dari kejahatan amalan yang telah aku lakukan. Engkaulah yang mengusai nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan Engkau jugalah Tuhan yang mengampunkan dosaku. Maka ampunkanlah aku. Sesungguhnya tidak ada Tuhan yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau).

December 11, 2010

SERTAI LARIAN MAAL HIJRAH 1432H

Seramai enam orang rakan muda MIAB telah menyertai Larian Amal Maal Hijrah 1432H Peringkat Negeri Johor tajaan Jabatan Agama Negeri Johor, Yayasan Dakwah Islamiah Negeri Johor (YADIM) dan Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti, Skudai pada 11 Disember 2010. Mereka adalah Abdul Rahim bin Karim, Mohammad Aiman bin Mohd Nazri, Ahmad Rabani bin Mustafa, Ahmad Mustafa bin Azaman, Nik Muhammad Safwan bin Salman dan Muhammad Arif bin Abdul Ghani.



Seramai 80 orang perserta mengambil bahagian untuk katergori remaja (13-19 tahun) dengan 10 jenis hadiah diperuntukkan untuk dimenangi. Alhamdulillah, Abdul Rahim bin Karim telah mendapat tempat ke-5. Tahniah diucapkan.

December 10, 2010

AKTIVITI AQIQAH/TAHNIK

Pihak MIAb akan melaksanakan aktiviti-aktiviti bukan setakat ceramah agama, kuliah dan amal ibadat semata-mata. Kami akan juga melaksanakan aktiviti berbentuk kemasyarakatan seperti sumbangan kewangan kepada anak yatim, fakir-miskin dan bantuan kematian di bawah kelolaan Tabung Khairat Kematian. Selain itu kami juga akan membantu ahli kariah yang memerlukan bantuan untuk majlis aqiqah, tahnik anak baru lahir dan sebagainya.

Terbaru kami telah mengelolakan program aqiqah anak En Yusof Jalan Batai 13 (21 November 2010), cucu Tn Hj Md Said Roslan Jalan Batai 3 (27 November 2010), anak saudara Nazri Jalan Batai 12 dan yang terkini mentahnik cucu Pn Saumi 20 Jalan Batai 12 (7 Disember 2010).

Acara mentahnikkan Abu Bakar Siddiq, cucu Puan Saumi
Pengerusi MIAB, Dr Karim sedang menyuapkan buah tamar 
yang dikunyah lumat kemulut bayi
 
Air zamzam, air yang penuh barakat disuapkan

Acara Mencukur Kepala:
 Imam Ismail al-Hafiz memulakan dengan menggunting sebahagian rambut

Diikuti Imam Hj Ahmad dan Hj Mohd Noh

Dr Karim sedang mencukur keseluruhan rambut Abu Bakar Siddiq

Mudah-mudahan dengan adanya aktiviti ini, ahli kariah Taman Sri Pulai atau sesiapa saja yang melayari blog ini akan sama-sama melaksanakan satu sunnah yang telah dilakukan Rasulullah SAW.

Tuan/puan yang berhajat untuk untuk tujuan di atas, bolehlah berhubungan dengan Dr Karim Deraman (019-9135283) atau Imam Hj Ahmad.

December 7, 2010

MAAL HIJRAH 1432 PERINGKAT NEBERI JOHOR

Alhamdulillah, MIAB telah dipilih untuk mewakili Daerah Kulaijaya untuk pertandingan katogeri Masjid Cemerlang Negeri Johor. Dr Karim Deraman, En Naam Parlan, En Sabri Ahmad dan Tn Hj Ahmad Imbar telah hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Johor Tahun 1432 pada 7 Disember 2010 di Pusat Islam Johor  Bahru yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Hj Abdul Ghani bin Hj Othman Menteri Besar Negeri Johor. Pada kali ini, Masjid Taman Perling telah dinobatkan sebagai Masjid Cemerlang Negeri Johor.

 Pemangku Pengerusi MIAB sedang menerima sijil
dan cencerahati daripada YAB Menteri Besar

December 5, 2010

TAKNIK: Amalan Sunnah yang telah dilupakan

Anak adalah anugerah Allah s.w.t. yang berharga di dunia ini. Ramai kalangan pasangan yang berkahwin menanti saat berbahagia seperti ini iaitu saat kehamilan isteri dan kelahiran anaknya. Apabila si anak telah lahir, Islam menggariskan pelbagai perkara sunnah yang mana ibu bapa dituntut melakukannya. Selain daripada melakukan ibadat akikah, mencukur rambut bayi kemudian bersedekah mengeluarkan emas atau nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut, azan di telinga bayi, memberi nama yang baik, terdapat satu amalan yang juga disunatkan yang ingin saya kongsi bersama dalam ruangan kali ini. Amalan tersebut ialah amalan tahnik. Apakah dia tahnik? Mungkin jarang orang mengetahui maksud tahnik dan bagaimana hendak melakukan tahnik.

Dalam istilah orang kampung negeri kelahiran saya, Kelantan biasanya dipanggil amalan “belah mulut”. Apa pun namanya, ia merupakan satu perkara yang sangat dituntut. Tahnik dari segi bahasa ialah lelangit di dalam mulut.(al-Marbawi, Kamus Idirs al-Marbawi : 153). Pakar bahasa menyebut maksud amalan tahnik ialah dikunyah akan buah tamar atau seumpamanya lantas digosok tamar tersebut pada lelangit mulut bayi. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462). Ia merupakan sunnah nabi yang perlu dilakukan oleh seseorang terhadap bayinya. Para ulama bersepakat mengatakan tahnik sunat dilakukan. Barangsiapa yang melakukannya, maka baginya pahala, sebaliknya barangsiapa yang tidak melakukannya, ia tidak berdosa. Ia seperti juga hukum akikah, ia adalah sunah bukan wajib.

Tahnik afdal dilakukan dengan buah tamar. Jika tiada tamar, boleh gunakah rutob (tamar muda). Jika tiada juga, boleh gunakan sesuatu makanan yang manis tetapi madu yang manis lebih awla daripada makanan lain. Dan jangan menggunakan makanan yang telah dimasak. Seeloknya, dibukakan sedikit mulut bayi supaya ia boleh menelan buah tamar tersebut. Tujuan tahnik mengikut ulama adalah melatih bayi untuk makan dan menguatkannya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390).

Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, ya. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya meghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut : “Yang disukai orang ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269). Hadis ini menunjukkan sunnah tahnik bayi yang baru dilahirkan dan ia adalah sunnah sebagaimana ijmak ulama. Ia juga menunjukkan afdal melakukan tahnik dengan buah tamar.

Bilakah sunat dilakukan tahnik? Adakah sebaik sahaja kelahiran atau perlu menunggu hari ketujuh?. Al-Bukhari membuat satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mengtahniknya petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akiqah”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390). Bermakna sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengahari pada hari kelahirannya. Ini yang dapat difahami melalui bab yang dibuat oleh al-Bukhari. Disebutkan dalam al-Majmuk, bahawa sunnah melakukan tanhik dengan tamar kepada bayi ketika dilahirkan. Maksudnya hari kelahiran (al-Nawawi, al-Majmuk 8/443). Bahkan tujuan atau hikmah tahnik sebagaimana disebut ulama ialah bertujuan untuk melatih bayi makan atau minum. Oleh itu, ia perlu disegerakan pada hari kelahirannya dan tidak perlu ditangguhkan sehingga hari ke tujuh sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu di sini.

Dalam negara kita, kebiasaanya orang awam suka meminta tolong para ustaz atau alim ulama melakukan tahnik kepada anaknya. Mereka mungkin menganggap ini adalah satu sunnah atau mungkin kerana mereka inginkan keberkatan ustaz tersebut. Suka saya kemukakan di sini, bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat dengan membawa anak mereka berjumpa Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah melakukan tahnik kepada bayi tersebut adalah suatu perkara yang mulia. Ini kerana Rasulullah s.a.w. mempunyai keberkatan pada diri atau zat baginda. Manakala selain daripada Rasulullah s.a.w. berlaku khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang agak kuat lebih cenderung kepada keberkatan zat hanya ada pada para nabi dan rasul alaihimussolatu wassalam.

Ya, ada nas-nas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang juga menunjukkan bahawa wujud benda-benda yang diturunkan keberkatan oleh Allah kepadanya. Sama ada tempat, masa atau makhluk-makhluk dari kalangan manusia. Sheikh Soleh bin Abdul Aziz (Lihat al-Tamhid, hlm 125-127) menjelaskan, berkat yang dijadikan oleh Allah ada dua bahagian:
     a) Berkat pada tempat atau masa. Seperti Allah Taala memberkati Baitillahilharam dan memberkati kawasan sekeliling Masjidil Aqsa. Maksud berkat di sini adalah dari segi makna dalaman, iaitu ada kebaikan yang banyak dan berkekalan di dalamnya. Dengan kata lain, keberkatannya adalah untuk tujuan beribadat padanya. Begitu juga keberkatan pada masa atau waktu. Allah memberkati bulan Ramadan dengan makna barangsiapa yang melaksanakan ibadat setulusnya dalam bulan ini, nescaya akan mencapai kebaikan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
     b) Berkat pada manusia. Iaitu berkat yang dijadikan Allah pada diri orang-orang mukmin. Dimulai oleh berkat pada diri Rasulullah s.a.w. dan para nabi serta rasul-rasul alaihimussalam. Berkat mereka adalah berkat pada zat, iaitu jasad dan tubuh mereka adalah berkat. Manakala selain daripada mereka, keberkatan orang yang beriman bukan pada zat mereka. Berkat pada mereka merujuk kepada berkat amalan, keimanan, ilmu dan dakwah mereka.

Dalam masalah tahnik, seeloknya bapa atau ibu atau ahli kelaurganya yang lain seperti datuk atau nenek kepada bayi itu sendiri yang melakukan tahnik. Adapun jika seseorang ingin juga meminta para ustaz atau ulama melakukan tahnik kepada bayinya, nasihat saya janganlah sampai menganggap kerana zat air liur atau tangan ustaz tersebut boleh membawa berkat kepada anaknya. Sekalipun ada ulama yang mengatakan sunat diminta kepada orang alim atau soleh melakukan tahnik untuk anak kita (Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462), namun perkara tersebut ditolak oleh ulama lain. Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Anas bin Malik di atas menyebut beberapa pengajaran hadis tersebut. Antaranya beliau menggariskan sunat dilakukan tahnik oleh orang soleh lelaki atau wanita dan boleh tabarruk dengan kesan-kesan orang soleh. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269).

Tetapi jika kita melihat hadis-hadis atau athar para sahabat, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tiada satu pun cerita yang diriwayatkan mengisahkan orang ramai berjumpa para sahabat besar seperti Abu Bakr, Umar, Uhtman, Ali dan lain-lain untuk meminta mereka melakukan tahnik kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan. Ini jelas membuktikan bahawa perbuatan meminta orang-orang soleh atau alim ulama melakukan tahnik tidak dilakukan oleh para al-salaf al-soleh. Justeru, bapa atau ibu kepada bayi tersebut boleh melakukan sunnah tahnik sendiri tanpa perlu pergi mencari ustaz-ustaz untuk melakukannya.

Selain itu, perkara lain yang ingin dikongsi bersama ialah berkaitan melakukan tahnik dengan menggunakan air zam-zam. Dalam hadis-hadis, kesemuanya menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. hanya menguyah buah tamar apabila melakukan tahnik. Apakah terdapat dalil yang mengharuskan kita menggunakan air zam-zam ketika tahnik. Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, aku perlu membawa air zam-zam? Jawab Ata’ : Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zam-zam dalam botol lalu mengtahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwah. (al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198). Walaupun hadis ini mursal, namun ia masih disokong oleh dalil-dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zam-zam, atau berubat dengannya. Maka bagi penulis, tidak menjadi kesalahan menggunakan air zam-zam untuk melakukan tahnik.

Ini adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh orang ramai berkaitan sunnah tahnik. Mudah-mudahan sunnah yang kita lakukan dengan niat ikhlas mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Amin

Sumber; http://albaruhiyy.wordpress.com/2008/10/25/sunah-tahnik/