January 30, 2012

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN ANAK YATIM 2011

Semalam Ahad 29 Januari 2012 telah berlangsung majlis penyampaian sumbangan anak yatim bagi kariah Masjid Intan Abu Bakar bagi tahun 2011. Seramai 27 orang kanak-kanak Taman Sri Pulai, 22 orang Taman Teratai, 6 orang Taman Pulai Emas dan 2 orang dari Taman Pulai Jaya 2 bersama-sama ibu masing-masing telah menghadiri majlis tersebut.

Majlis yang bermula dengan pendaftaran peserta bermula jam 8 malam, diikuti dengan solat isyak berjemaah, ucapan aluan pengerusi Masjid Intan Abu Bakar (MIAB) Dr Karim Deraman, tazkirah ringkas Ustaz Mohd Rifqi Myidin dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan sumbangan kepada anak yatim yang disempurnakan oleh Ustaz Mohd Rifqi dan Imam 1 MIAB Hj Ahmad Kasman. Program yang berakhir sekitar pukul 10.30 malam tersebut juga dihadiri oleh wakil-wakil surau berkenaan iaitu Hj Abdul Halim Muhaimin (Surau Taman Teratai), Ustaz Sajuli Sajat (Surau Taman Pulai Emas) dan Ustaz Mokhtar Mohamad (Surau Taman Pulai Jaya 2).

Pengerusi MIAB Dr Karim Deraman, dalam ucapan aluannya, mengucapkan terima kasih kepada kepada para penyumbang untuk Tabung Anak Yatim/Infaq MIAB. Dengan sumbangan yang diberikan, pihak MIAB, katanya sedang merancang pelbagai aktiviti untuk anak-anak yatim.  Pihak MIAB akan cuba membantu mereka untuk mempertingkatkan aspek pendidikan mereka. Moga-moga prestasi pendidikan mereka akan cermerlang dalam peperiksaaan UPSR, PMR dan SPM. Beliau berharap semua ahli keluarga terutamanya ibu mereka akan memberi kerja sama di atas usaha yang akan dilaksanakan MIAB nanti.

Kemudian, Ustaz Mohd Rifqi dalam tazkirah ringkasnya pula telah menjelaskan betapa mulianya anak yatim pada pandangan agama kita, dan betapa banyaknya pahala yang diperolehi mereka yang membantu anak-anak yatim. Setiap helai rambut yang diusapkan, berguguranlah dosa-dosa orang sayang dengan anak yatim. Dengan beberapa ayat al-quran dan 7 buah hadis nabi, beliau telah menerangkan kemuliaan tersebut. Sebaliknya pula, beliau menjelaskan amaran bahawa balasan api neraka kepada mereka yang menganiya dan memakan harta anak-anak yang kematian bapa tersebut.





  







January 25, 2012

Kelas Tuisyen di MIAB

Alhamdulillah, Kelas Tuisyen untuk kanak-kanak yang akan menduduki UPSR di MIAB telah bermula malam tadi 25 Jannuari 2012.  Pihak kami mengalu-alukan semua ahli kariah yang ada anak atau cucu yang nak ambil UPSR tahun ini supaya dapat mengambil bahagian.

Masa tuisyen bermula dengan solat maghrib berjemaah, mengaji quran, solat isyak berjemaah dan diikuti dengan kelas tuisyen selepas solat isyak.

Buat permulaan ini seramai 5 orang pelajar telah mendaftar dan mengikuti kelas tersebut.



January 20, 2012

Hadiri Muzakarah Pejabat Agama Daerah Kulaijaya

Imam 1 Hj Ahmad Kasman dan Iman 2 Shahrim Ibrahim telah menghadiri Muzakarah Aqidah yang telah dilaksanakan Pejabat Daerah Agama Kulaijaya pada 13 Januari 2012 lalu di Masjid Layang-Layang.