November 27, 2010

Majlis Khatan Beramai-ramai

Alhamdulillah, seramai lapan orang kanak-kanak sekitar Taman Sri Pulai telah mengambil bahagian dalam Majlis Berkhatan yang telah diadakan pada 27 November 2010. Mereka ialah ...............

Satu majlis ringkas bacaan doa selamat, solat hajat dan penyampaian cenderahati kepada peserta diadakan pada Khamis malam Jumaat 25 November 2010.

a) Majlis Penyampaian cenderahati kepada peserta 25 November 2010





b) Majlis khatan berlangsung 27 November 2010

Pada jam 7.30 pagi (27 November 2010) para peserta dan ibu bapa masing-masing telah berkumpul diperkarangan MIAB. Mereka semua dipersilakan sarapan nasi lemak. Sekitar jam 8.15 pagi, mereka telah disiramkan dengan air dan acara khatan bermula 15 minit kemudiannya. Majlis tersebut selamat sempurna dikhatankan oleh Tn Hj Jufri bin Selamat, Pembantu Kesihatan dari Pusat Kesihatan Kerajaan Simpang Renggam jam 11.15 pagi. Setiap peserta dikenakan bayaran RM100.00 saja.

Para peserta bersedia untuk dipancutkan dengan air

En Masek sedang mengajukan pancutan air kepada peserta

Tn Hj Jufri Selamat dan pembantunya (anaknya) sedang mengkhatankan peserta

Suasana semasa (gambar kiri) dan selepas (gambar kanan) majlis berkhatan

November 23, 2010

Hukum Memotong Kuku dan Berinai


Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta'ala mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia adalah perkara besar, sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wudhu atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Beberapa permasalahan yang berhubungkait dengan kuku dari segi hukum, hikmat memotong kuku, memanjangkan dan mewarnanya akan dibincangkan.

1. Hukum Dan Hikmat Memotong Kuku
Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha yang maksudnya: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: "berkata Mus'ab: "Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur." (Hadis riwayat Muslim). Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci. Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

2. Cara Dan Benda Untuk Memotong Kuku
Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri. Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari. Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.



Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku. Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta. Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

3. Waktu Memotong Kuku
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya: "Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam."
(Hadis riwayat Muslim). Adapun menurut Imam asy-Syafi'e dan ulama-ulama asy-Syafi'eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Juma'at, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Juma'at.

Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu 'anhuma berkata yang maksudnya :
"Sesiapa yang mandi pada hari Juma'at, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Juma'at itu dan Juma'at sebelumnya." (Hadis riwayat Ahmad). 

Daripada Abu Hurairah katanya yang maksudnya : "Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alahi wasallam memotong kuku dan mengunting misai pada hari Juma'at sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang."(Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani). Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma'at atau pada hari Isnin.

4. Menanam Potongan Kuku
Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhu menanam potongan kuku.

5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
Menurut kitab Al-Ihya', jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya (Cutex)
Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihhi wasallam, kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang, nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wudhu, mandi wajib dan sebagainya.

Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex) bagi perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat. Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wudhu apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.

Hal ini berbeza pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan yang hendak berihram sunat baginya berinai. Walau bagaimanapun cara berinai yang disunatkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunatkan juga menyapukan sedikit inai kemuka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka. Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah. Sementara itu, cara berinai dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya tetap haram.

Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya: "Bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam melarang kaum lelaki memakai za'faran." (Hadis riwayat Muslim). Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai.

November 20, 2010

KULIAH TAFSIR SETIAP RABU MALAM KHAMIS

Ketahui dan nikmati kelazatan dari surah Yasin! Berapa ramai antara kita yang berjaya menghafal surah Yasin? Namun, berapa ramai pula yang tahu dengan mendalam maksud setiap ayat dalam surah Yasin? Bukankah lebih bermakna dan berkat ibadah yang kita lakukan jika dapat mendalami dan memahami maksud yang diutarakan oleh Allah melalui surah Yasin.


Kini, Ustaz Mohd Rifqi bin Myidin, Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 1 merangkap Imam Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti sedang mentafsir Surah Yasin di Masjid Intan Abu Bakar Taman Sri Pulai.

Antara tafsirannya merangkumi
1. Pengertian secara terperinci setiap ayat dalam surah Yasin
2. Sebab nuzul ayat
3. Huraian dan pengajaran dalam surah Yasin
4. Setiap huraian disokong dengan penjelasan al-Quran dan Hadis.
5. Fadilat dalam membaca surah Yasin
 

Pihak kami menjemput semua penjengok blog kami datang beramai-ramai ke masjid kami selepas solat maghrib Rabu malam Khamis dan gapailah manfaat yang terkandung dalam surah Yasin justeru pahalanya menyuluh jiwa kita semua. Mudah-mudahan ibadah kita lebih mantap selepas membaca, memahami dan seterusnya menghayati intipati surah Yasin.

November 18, 2010

AKTIVITI SEMASA

Alhamdulillah Masjid Intan Abu Bakar melaksanakan beberapa aktiviti dengan jayanya. Berikut dinyatakan aktiviti-aktiviti yang berlaku pada hujung minggu lepas.

Sabtu, 13 November 2010

Pada sebelah pagi, pihak masjid telah mengedarkan Borang Daftar Qariah Masjid untuk penduduk di Jalan Ara, Jalan Batai, Jalan Meranti, Jalan Pakis dan Jalan Rotan. Borang tersebut bertujuan untuk membina satu Pengkalan Data dan Maklumat penduduk Islam yang tinggal di Taman Sri Pulai. Malangnya pungutan borang pada sebelah petang seperti mana dirancang tidak dapat dibuat kerana hujan dan keadaan tidak mengizinkan. Sebahagian borang telah dikumpul pada keesokan harinya dan masih belum dapat dukumpul sepenuhnya memandangkan ramai petugas kami pulang ke kampung untuk hari raya. Para penduduk yang borang mereka belum dipungut, boleh menghantarkan terus ke MIAB pada bila-bila masa dengan memasukkan ke dalam kotak yang disediakan di hadapan Pejabat Imam/Bilal atau berjumpa mana-mana AJK dan Pegawai Masjid yang dikenali.

Pada sebelah malamnya sejumlah 20 orang remaja daripada Biro Rakan Muda pula telah berpeluang mengikuti satu Program Motivasi yang dikendalikan oleh pelajar dan bekas pelajar UTM. Dalam program tersebut mereka didedahkan dengan Ceramah dan tayangan multimedia. Rata-rata meraka menyatakan program tersebut sangat baik dan menyentuh perasaan. Mereka beriktikaf dan tidur di MIAB untuk mengikuti pula Program Qiamullai Sekampung pada jam 4 pagi yang diadakan khas oleh pihak masjid. Mereka solat subuh berjemaah dan mengikuti Kuliah Subuh. Selepas kuliah subuh, mereka bersarapan pagi di masjid dan bersurai jam 8.30 pagi Ahad 14 November setelah mengikuti riadhah ringan diperkarangan masjid.

Ahad 14 November 2010

Biro Rakan Muda MIAB dengan kerja sama KRT Jalan Batai Taman Sri Pulai telah berjaya menganjurkan pertandingan Futsal Remaja bagi tahun 2010 bertempat di Gelanggang Futsal Taman Teratai. Sejumlah 15 kumulan futsan sekitar Taman Sri Pulai yang meliputi remaja daripada Taman Sri Pulai Perdana, Taman Teratai, Kangkar Pulai disamping remaja daripada Taman Sri Pulai sendiri. Diakhir pertandingan Pemangku Pengerusi MIAB yang juga Pengerusi KRT Jalan Batai Dr Karim Deraman telah sudi menyampai ucapan penutup dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada kumpulan yang menang.

Hari Raya Aidil Adha 1431H

Alhamdulillah, sebanyak lapan ekor lembu dan seekor kambing telah disembelih untuk dikorbankan sempena Aidil Adha 1431H ini. Proses penyebelihan telah berjalan dengan lancar dan semua peserta qurban keseluruhannya berpuas hati dengan perjalanan program qurban tahun ini.

Para peserta qurban dan petugas korban dikehendaki mendaftar dan diberikan kupon untuk memudahkan pihak MIAB membahagikan daging/tulang kepada mereka. Dengan kerja sama dan gembelingan tenaga semua petugas, semua daging selesai dibungkus jam 3.30 petang dan diagih-agihkan kepada penduduk Taman Sri Pulai kemudiannya.

Para peserta qurban berdaftar untuk mendapatkan kupon

 Terima Kasih YB Datuk Abdul Aziz Sapian, ADUN Nusajaya yang telah
menjenguk kami.... Bila lagi YB nak sumbang lembu untuk masjid kami.....?
Lawan tarik tali ke bang..... bukan, tarik tali ikatan lembu untuk disembelih

Lembu ke 5 ditumbangkan

Aiii pak hj, nak gi jual ke?
Tak, nak hantar ke ruang melapah di laman masjid...

Tengok tu, bersemangat betul pak yang berada atas lori tadi pegang
kaki lembu untuk dilapah. Tapi apa jadi dengan penjaga lembu hitam
yang pakai baju oren tu... tak kan tengok je.... cari le pisau !!!!

Tengok tu... apa dah jadi dengan petugas AJK masjid ni. Tercegak je....
Tak kan takut kotor tangan kot... Saya nak cadangkan kepada Pengarah
supaya potong nama orang ini Program Qurban tahun depan.


Ini satu lagi.... petugas-petugas AJK MIAB jadi mandur..
Tak kan biarkan warga emas je yang ricih-ricihkan daging tu...

 
Tak kan nak potong daging pun kena acah-acah bang....
Suasana rakan muda mencuci usus dan babat... Walau pun kotor 
mereka perlu diajar dan dilatih dengan keadaan sebegini sukar. 
Mudah-mudahan dengan pendedahan ini mereka dapat mengorbankan 
perasaan mereka apabila berdepan keadaan payah dan getir.

Petugas qorban paling kecil bersama mencuci babat.
Alahai leganya dapat teguk air batu... 
Tengok lah lakunan dua orang cik mat ni masak....
Cepat-cepat sikit semua petugas semua dah lapar dah tu...

November 9, 2010

Masjid Intan Abu Bakar

ASSALAMUALAIKOM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH....

Syukur kepada Allah SWT Masjid Intan Abu Bakar, Taman Sri Pulai, Skudai telah mempunyai blognya sendiri yang akan memaparkan aktiviti yang dijalankan untuk makluman ahli kariah dan masyarakat umum.

Sebarang komen dan cadangan untuk pembaikan masjid dan blog ini adalah dialu-alukan.


Keceriaan tanggung jawab bersama