October 30, 2011

MIAB SEDANG DIBAIK PULIH

Untuk makluman semua pengguna MIAB, masjid kita sedang dibaik pulih. Alhamdulillah, bumbung utama solat dan menara sedia ada akan diganti manakala ruang tambahan sebelah kanan (sebelah tandas) pula akan dipasang siling.

Buat masa ini, disebabkan musim hujan, pihak kontraktor yang dilantik sedang memasang siling ruang solat tambahan. Kerja-kerja menukar bumbung dan merobohkan menara pula dijangka dilakukan kemudiannya.



Dengan yang demikian, pihak kami memohon kerja sama ahli jemaah dan pengguna MIAB supaya berhati-hati dan tidak mengganggu pihak kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja berkenaan.

Kami juga memohon supaya kita sama-sama menjaga dan mengawasi atap, siling dan apa saja bahan yang akan digunakan supaya tidak hilang atau diambil mereka yang ...... (?). Pihak kami ada diberitahu kontraktor berkenaan, segulung dawai telah diambil (dicuri?) oleh mereka yang meminatinya....

MIAB adalah masjid KITA dan kita semua bertanggung jawab ke atasnya...

October 25, 2011

Sumbangan Untuk Masyarakat Islam Kemboja

Kali ini, Masjid Intan Abu Bakar melalui mahasiswa Kolej Abdul Rahman Putra UTM akan menyumbang sejumlah sejadah, al-quran dan surah yasin untuk dibahagikan kepada Masyarakat Islam Kemboja. Sebanyak 130 helai sejadah, 15 naskah al-quran dan beratus surah yasin telah diserahkan kepada saudara Mohd Aiman, Pengarah Program Bersamamu Kemboja yang akan bertolak ke sana pada Sabtu 5 November 2011 ini. Penyerahan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Dr Karim Deraman, Pengerusi MIAB pada Ahad 23 Oktober 2011 yang lalu. Pada tahun lepas, MIAB telah menyumbang 30 naskah al-quran dan beratus naskah surah yasin.

Selain daripada itu, sejumlah RM1000.00 juga akan disumbangkan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin di sana. En Sabri Ahmad, AJK MIAB yang juga staf UTM akan turut serta dalam program tersebut.

 Mohd Aiman dan rakan-rakannya sedang menyusun sejadah 

Dr Karim dan beberapa AJK MIAB sedang membantu menghitung sejadah 

 Sebahagian surah yasin sedang dikumpul
 

 Dr Karim sedang menyerahkan sejadah, naskah al-quran
dan surah yasin kepada Mohd Aiman

Khabarnya, mereka akan mengadakan pelbagai aktiviti di sana seperti penyembelihan qurban, bantuan sumbangan kepada fakir miskin, memberikan khidmat berkhatan kepana kanak-kanak dan membantu menyediakan kemudahan asas (air). Hingga kini, katanya lebih daripada 20 ekor lembu bakal diqurbankan. Sumbangan qurban tersebut disumbangan oleh umat Islam seluruh negara.

InsyaAllah, pihak kami mengalu-alukan sumbangan ahli qaryah dan orang ramai yang ingin menyumbang kewangan, naskah quran dan sebagainya untuk diagih-agihkan kepada saudara kita di Kemboja.

Sama-samalah kita membantu mereka.....

October 22, 2011

Penyerahan Watikah Lantikan Ahli Jawatankuasa Sesi 2011-13

Satu majlis ringkas penyerahan Watikah Lantikan AJK sesi 2011-13 telah disempurnakan oleh Al-Sheikh Hj Fahmi A Samad, Kadhi Daerah Kulaijaya sempena Taklimat Pengurusan Jawatankuasa Masjid dan Surau Daerah Kulaijaya yang berlansung pada 19 Oktober 2011 lalu bertempat di Masjid Ar-Rahman, Taman Putri, Kulai. Dr Karim Deraman telah mewakili AJK MIAB menerima watikah lantikan tersebut.


October 21, 2011

Taklimat Pengurusan Jawatankuasa Masjid dan Surau Daerah Kulaijaya

Taklimat berkenaan telah diadakan pada 19 Oktober 2011 bertempat di Masjid Ar-Rahman Taman Putri Kulai. Sekitar 60 orang peserta telah mengahdirinya dan dua pembentangan kertas kerja telah berlangsung. Pembentang pertama ialah Tuan Hj Hasan bin Mohamad, Penyelaras Masjid Daerah Kulaijaya dengan tajuk Peranan dan Tanggungjawab Ahli Jawatan Kuasa dan biro-biro yang berkaitan, manakala pembentangan kedua disampaikan Tuan Syed Abdul Kadir bin Syed Mohamad, Imam Daerah Kulaijaya dengan tajuknya berkaitan Lantikan Imam, Pengurusan Kewangan Masjid/Surau dan Garis Panduan Masjid/Surau Cemerlang.




Taklimat bermula jam 9.00 pagi dan berakhir selepas solat  zohor itu telah dihadiri sama Dr Karim Deraman, Pengerusi MIAB dan sdr Naam bin Parlan, Setiausaha MIAB.

October 11, 2011

TETAMU ALLAH 2011

InsyaAllah, pada tahun ini beberapa orang ahli qariyah kita akan menjadi tetamu Allah. Satu majlis ringkas meraikan pemergian mereka telah diadakan di MIAB pada Khamis malam Jumaat 6 Oktober lalu. Mereka terdiri daripada:

a) Jalan Meranti:
1. Prof Madya Mohd Nor Said dan isteri (18 Okt 2011)
2. Dr Ibrahim Ngah dan isteri (28 Sept 2011)
3. En Badri dan isteri (19 Okt 2011)
4. En Nurul Ashikin dan isteri

b) Jalan Batai
1. En Mohamat bin Ramli dan isteri (30 Jalan Batai 8, 12 Okt 2011)

c) Jalan Rotan
1. Pn Maimunah Hj Abu Bakar (Jalan Rotan 2, 28 Sept 2011)
2. Pn Zainah bt Samitali (Jalan Rotan 5, 14 Okt 2011)

Sama-samalah kita doakan pemergian dan kerja haji mereka dibawah lindungan Allah, serta pulang nanti mendapat haji yang mabror...

Majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan di rumah En Mohammat bin Ramli
Jalan Batai 8 pada 9 Oktober lalu


Dr Karim menyampaikan sumbangan kepada En Mohammat bin Ramli

October 3, 2011

AKIBAT DOSA-DOSA YANG DIKUMPUL, HAMBA ALLAH ITU SELAYAKNYA DIHUMBAN KE DALAM NERAKA...

S
eorang hamba Allah, dikira berdosa, apabila dia tidak melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sesorang hamba Allah itu dikatakan tidak melakukan kerja taat kepada Allah apabila tidak mengerjakan suruhan Allah dan sebaliknya melakukan kerja haram (perbuatam maksiat, perkara mungkar atau sebarang larangan dalam agama Islam). Lantaran itu mereka akan ditimpakan azab oleh Allah SWT semasa hidup di dunia lebih-lebih lagi hidup di alam akhirat nanti. Allah Taala berfirman, maksudnya: "Dan sesungguhnya akan Kami rasakan kepada mereka (yang melakukan dosa) sebahagian azab yang dekat (di dunia) selain (sebelum) azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar) - (al-Sajadah: 21). 
Hamba Allah yang perbuatan dosanya tidak/belum mendapat keampunan Allah Taala atau dalam proses keampunan, sedang dalam pengkifaratan dosa misalnya, akan menerima pembalasan awal (terdekat) di dunia yang merupakan seksaan atau kecelakaan. Pembalasan dosa akan membinasakan diri, seterusnya menjejaskan iman dan melupuskan takwa.
Berkata Imam al-Ghazali, maksudnya: Perbuatan maksiat itu adalah sebagai makanan yang memudharatkan badan manusia. Dosa-dosa yang terkumpul dalam diri manusia akhirnya meracuni jiwa keimanannya. Perbuatan dosa akan mengakibatkan kegelapan dalam hati kerana dosa itu menjadi kotoran atau karat di hati. Allah Taala berfirman, mafhumnya, "Bahkan telah ternoda hati mereka (berkarat dengan noda sehingga menutupi hati) dengan apa yang mereka usahakan (dosa yang mereka lakukan)" – (al-Muthaffifin: 14).
Karat dosa ini, jika tidak dikikis dengan taubat, lama-kelamaan akan bertambah tebal lalu menutup pintu hati dan sukar atau tidak mungkin dihapuskan lagi. Orang yang demikian hatinya, jika tidak mendapat rahmat Allah, akan hidup dan mati dalam kesesatan. Na'uzu billahi min zalik.
Dosa-dosa yang dikumpulkan itu akan menjadi hijab yang mendindingi hubungan seseorang  hamba dengan Allah Taala, terjauh daripada rahmat Allah, tidak mendapat taufik dan hidayah-Nya untuk berbuat amal kebajikan. Orang yang banyak dosa dan berterusan dengan perlakuan dosa itu sehingga berkarat tebal adalah sukar untuk kembali ke jalan yang benar, malah sukar juga untuk memulakan taubat. Sebaliknya, dosa itu akan mendorong kepada perbuatan dosa yang lain, sama ada dilakukan dengan anggota badan (dosa zahir) atau dengan hati (dosa batin). 
Semada di dunia, hamba Allah yang banyak dosa akan mengalami tiga keadaan yang cepat atau lambat mereka akan menerimannya. Mereka akan (a) ditimpa penyakit, (b) ditahan rezeki, atau (c) merasakan diri benar dan terlepas daripada sebarang pembalasan kerana masih berterusan mendapat kemewahan dan keni'matan hidup, walaupun berterusan melakukan dosa, akan tetapi semuanya ini merupakan tindakan istidraj (pembalasan secara perlahan, sedikit demi sedikit) daripada Allah Taala yang tidak disedari oleh hamba Allah yang berkenaan. Allah berfirman, "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik (mengazabkan) mereka secara beransur-ansur (istidraj) dengan cara yang tidak mereka ketahui - (al-A'raf: 182).
Demikianlah kecelakaan akibat dosa yang perlu diketahui. Berkata Imam al-Ghazali, "Apabila kita dapat memahami semuanya ini, nescaya akan timbul di dalam hati rasa takut. Jika perasaan takut telah bertakhta di hati, akan mudahlah kita menanggung kesabaran dengan berkatnya. Pertolongan Allah Taala dan taufik-Nya akan menyusul sesudah itu".