January 27, 2011

Penggunaan Borang

Untuk makluman semua, pihak kami ada menyediakan borang-borang tertentu yang perlu dipenuhi apabila ingin mengadakan sebarang aktiviti di MIAB. Penggunaan borang-borang tersebut diperlukan untuk memudahkan dan meningkatkan sistem pengurusan MIAB. Dengan yang demikian, sistem pengurusan MIAB lebih bersistematik

Diantara borang-borang yang tersedia di dalam kotak di hadapan Bilik Imam/Bilal adalah
1. Borang Daftar Qariah
2. Borang Tahlil dan Yasin (mlm Jumaat)
3. Borang Nikah /Kahwin
4. Borang Kecemerlangan Pelajar 2010
5  Borang Tabung Khairat Kematian
6. Borang Penggunaan Maib
7. Lain-lain borang sedang disediakan

Kerja sama tuan/puan amat diharapkan demi untuk kepentingan bersama;

Terima Kasih

January 26, 2011

Usah campak diri dalam kebinasaan


KESIHATAN adalah nikmat paling berharga yang perlu dijaga. Kebanyakan kita kini, tidak begitu peka terhadap aspek pemakanan. Asalkan sedap dimakan hingga tidak menghiraukan kesan mudarat kepada kesihatan. Apabila sudah disahkan menghidap penyakit terutamanya pada tahap kronik, barulah merasakan bahawa kesihatan itu adalah harta yang amat bernilai. Selepas diuji dengan kesakitan, baru kita merasai betapa beruntungnya nikmat sihat yang dimiliki sebelum ini.

Adakah kita mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat setiap hari? Seandainya kita ikut dengan teratur serta mengamalkannya, bersyukurlah kerana kita diberi kesedaran itu. Sebagai Muslim, wajib kita menjaga amanah yang Allah kurniakan ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan, al-Quran menyifatkan ia sebagai mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ramai yang tidak menghargai nikmat ini. Kenapa begitu ramai umat islam terlibat dalam penggunaan dadah, ketagihan rokok, minum arak dan lumba haram yang membawa musibah, mudarat serta kecacatan.

Kita perlu bertekad untuk meninggalkan tabiat buruk berkenaan dan cuba pula mengajak orang lain menjaga kesihatan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai Allah berbanding orang beriman yang lemah”. (Hadis riwayat Imam Muslim).
Setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya memperbaiki kualiti hidup selain menjadi manusia yang kuat. Nikmat kesihatan yang baik saja mampu mengubah nasib serta dapat meraih kehidupan lebih baik. Badan yang sihat adalah untuk terus kekal dapat beribadat kepada Allah dan bukan untuk merompak, menyamun atau meragut.

Peluang sementara badan masih sihat inilah masanya untuk kita memperbaiki diri menjadi lebih baik. Jangan terus leka dan beranggapan usia masih muda dan mempunyai banyak masa kerana kematian itu tidak mengenal usia. Tidak semestinya kematian menjemput kita pada usia tua kelak. Bukan juga bererti, kita perlu melupakan kenikmatan dunia. Kehidupan dunia adalah kurniaan Allah, selagi kita tidak melakukan amalan yang bercanggah dengan agama dan tidak melalaikan, maka ambillah.

Alangkah bagusnya jika seorang yang hebat personalitinya, berkerjaya, berkarisma, berpelajaran tinggi, mantap akhlak dan amalan agamanya. Remaja yang hebat adalah golongan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Bolehkah kita menjadi cemerlang dalam pelajaran dan pada masa sama menjaga akhlak serta pekerti sebagai Muslim?

Marilah kita sama-sama menjaga makan minum kita supaya selaras dengan saranan al-Quran supaya makan minum apa yang halal lagi baik dan meninggalkan apa-apa yang buruk (seperti merokok dan lain-lain). Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba Allah yang mendapat tahmatNYA.

January 16, 2011

Hadiah Kecemerlangan Pelajar

InsyaAllah, mulai tahun 2010 pihak kami akan menyampaikan sumbangan kepada anak ahli qariah yang berjaya dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Anugerah kecemerlang ini diberikan kepada pelajar untuk meraikan para pelajar yang berjaya dalam pepriksaan mereka. Mudah-mudahan ianya akan menjadi peransang dan semangat kepada pelajar lain untuk berjaya.

Mana-mana ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak jagaan meraka yang berjaya mendapat 5A dalam pepriksaan UPSR, 8A PMR dan 8A SPM bagi tahun 2010, sila hubungi pihak MIAB atau terus kepada En Sabri bin Ahmad ditalian 012-7133844 untuk keterangan lanjut.

January 13, 2011

Tabung Simpanan Ansuran Ibadah Qurban 1432H

Ibadah qurban adalah satu amalan yang amat dituntut ke atas setiap individu muslim untuk dilaksanakan. Sebahagian ulama ada yang mengatakan hukumnya sunat muaakad dan ada pula yang mengatakan wajib. Menyedari tuntutan tersebutlah, pihak MIAB amat menggalakkan semua ahli qariah sekalian supaya melaksanakan ibadah qurban bagi tahun 1432H akan datang.

Bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk menyediakan kewangan satu bahagian lembu (sekitar RM450.00) secara sekali gus, pihak kami ada menyediakan satu tabung qurban untuk kemudahan ahli qariah sekalian menabung. Tuan/puan boleh menyimpan secara ansuran dengan kami selama beberapa bulan sehinggalah sampai masa bulan Zulhijjah nanti. Contohnya, setiap bulan disimpan dengan kami RM50.00 sebulan mulai sekarang dan bila tiba bulan Zulhijjah jumlah berkumpul adalah RM500.00, dan boleh melakukan ibadah qurban.

January 10, 2011

Penggunaan Sutrah (Penghadang) Ketika Solat

Definisi Sutrah

Sutrah adalah suatu yang diletakkan di hadapan orang yang solat setinggi kira-kira pelana unta. Ini adalah berdasarkan suatu hadis dari Abu Musa bin Talhah dari ayahnya, ia berkata, “Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) pernah bersabda, “Apabila salah seorang kamu sudah meletakkan sesuatu setinggi pelana unta di hadapannya maka solatlah dan jangan pedulikan siapa saja yang melintas di sebalik sutrah tersebut”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 499)

Hukum Meletakkan Sutrah

Sebahagian ulama menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah adalah sunnah, sebahagiannya menyatakan sebagai sunnah yang sangat-sangat dituntut, manakala sebahagian lagi menyatakan sebagai wajib. Ini adalah antaranya berdasarkan kepada dalil hadis sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhu (r.a.), ia berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Janganlah kamu solat kecuali meletakkan sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu.  Apabila ia tetap berkeras, maka lawanlah dia kerana dia ditemani syaitan”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 820)

Dari Abu Dzarr r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang di antara kalian sedang mengerjakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki batasan (sutrah) jika di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana unta. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam. Aku berkata, “Wahai Abu Dzarr, apa perbezaan antara anjing hitam dengan anjing merah atau kuning?” Ia menjawab, “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau tanyakan ini juga pernah aku tanyakan kepada Rasulullah s.a.w. dan beliau menjawab, “Anjing hitam itu adalah syaitan”.”” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 510)

Tuntutan Meletakkan Sutrah

Sebenarnya sangat banyak hadis-hadis yang menekankan penggunaan (peletakkan) sutrah (penghadang) ketika solat. Dan apa yang sewajarnya kita ambil dari hal ini, adalah mengikuti sunnah, sebagaimana termaktub dalam suatu hadis berkenaan solat, Nabi s.a.w. bersabda, “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat..” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 604. Lihat juga Irwau’ul Ghalil oleh Sheikh al-Albani, hadis no. 213)

Begitulah kita melaksanakan ibadah, ittiba’ (mengikuti) apa yang dipraktikkan dan ditunjukkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Menurut Sheikh al-Albani di dalam Kitabnya, Sifat Solat Nabi... dalam bab ini, “Sutrah dalam solat menjadi kewajiban imam dan orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar. Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il, dari imam Ahmad. Ujarnya: “Pada suatu hari saya solat tanpa memasang sutrah di depan saya, padahal saya melakukan solat di dalam masjid Jami’. Imam Ahmad melihat kejadian ini, lalu berkata kepada saya, “Pasanglah (letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun memasang (menjadikan) seseorang untuk menjadi sutrah (solatku).” Kejadian ini merupakan isyarat dari imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid besar atau masjid kecil tetap berkewajiban memasang sutrah di hadapannya. Pendapat inilah yang benar, namun kebanyakan tempat telah mengabaikan hal ini...” (Rujuk: Sifat Solat Nabi, 95)


Bolehnya (Suruhan) Menolak Orang Yang Melintas

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia bercerita: “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang di antara kalian mengerjakan solat dengan menghadap sesuatu yang membatasinya (sutrah) dari orang lain lalu dan kemudiannya ada seseorang yang hendak melintasi (dalam kawasan antara tempat berdiri dengan sutrah) hendaklah kalian menghalangnya dan jika dia berkeras, hendaklah kalian menyerangnya kerana sesungguhnya dia itu syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Solat, no. 509. Muslim, Kitab Solat, no. 505)

Kedudukan (Posisi) Sutrah

1 – Diletakkan di hadapan. Atau pun benda yang menjadi sutrah itu mestilah berada di hadapan.
2 – Tingginya adalah setinggi lebih kurang setinggi pelana unta (sekurang-kurangnya).
3 – Jaraknya dari tempat sujud adalah sekadar lebih kurang mencukupi laluan seekor anak kambing. Ini adalah berdasarkan hadis berikut,

Daripada Sahl bin Sa’d, “Jarak di antara tempat sujud Rasulullah dengan sutrah adalah sekira-kira mencukupi untuk laluan seekor anak kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 475)


Cukup Dengan Satu Sutrah Bagi Satu Solat Jema’ah

Daripada Ibnu ‘Umar, “Apabila Rasulullah keluar untuk melaksanakan Solat Hari Raya, Nabi meminta supaya membawa tombak dan dipacapkan di hadapan tempat solat, dan beliau solat dengan menghadap ke arah posisi tersebut manakala para makmum di belakang beliau.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 1010).

Berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis yang lain seumpamanya, menunjukkan bahawa sutrah untuk imam adalah memadai buat makmum lain di belakangnya.

Antara Benda (Objek) Yang Boleh Dijadikan Sutrah Di Dalam Hadis

1 – Manusia yang sedang diam/duduk.
2 – Unta (haiwan tunggangan).
3 – Lembing/Tombak.
4 – Pelana unta.
5 – Dinding.
6 – Pokok.

Lawatan Pasukan Pemantau dan Penilaian Masjid Cemerlang

Assalamualaikum kepada semua pembaca.....

Selasa 9 November 2010 jam 2.00 petang

Hari ini merupakan hari bersejarah bagi ahli kariah dan AJK Masjid Intan Abu Bakar apabila masjid kita yang menjadi tempat ibadah kepada kita bersama telah dipilih oleh Pejabat Agama daerah Kulaijaya untuk mewakili daerah tersebut ke pertandingan Masjid Cemerlang Negeri Johor bagi tahun 2010. Satu pasukan panel penilai yang diketuai Ustaz Mohd Nor Kadri telah hadir untuk tujuan tersebut.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat diambil oleh lensa kamera kami.

UCAPAN LAPORAN PENGERUSI MASJID OLEH DR KARIM DERAMAN
PENILAIAN UNIT PENERBITAN

TUAN QADI KULAIJAYA SEDANG MEMBINCANGKAN SESUATU...
PENILAIAN PENGERUSI MASJID
PENILAIAN BIRO KECERIAN DAN KEBERSIHAN
PENILAIAN HAL EHWAL WANITA