January 26, 2011

Usah campak diri dalam kebinasaan


KESIHATAN adalah nikmat paling berharga yang perlu dijaga. Kebanyakan kita kini, tidak begitu peka terhadap aspek pemakanan. Asalkan sedap dimakan hingga tidak menghiraukan kesan mudarat kepada kesihatan. Apabila sudah disahkan menghidap penyakit terutamanya pada tahap kronik, barulah merasakan bahawa kesihatan itu adalah harta yang amat bernilai. Selepas diuji dengan kesakitan, baru kita merasai betapa beruntungnya nikmat sihat yang dimiliki sebelum ini.

Adakah kita mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat setiap hari? Seandainya kita ikut dengan teratur serta mengamalkannya, bersyukurlah kerana kita diberi kesedaran itu. Sebagai Muslim, wajib kita menjaga amanah yang Allah kurniakan ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan, al-Quran menyifatkan ia sebagai mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ramai yang tidak menghargai nikmat ini. Kenapa begitu ramai umat islam terlibat dalam penggunaan dadah, ketagihan rokok, minum arak dan lumba haram yang membawa musibah, mudarat serta kecacatan.

Kita perlu bertekad untuk meninggalkan tabiat buruk berkenaan dan cuba pula mengajak orang lain menjaga kesihatan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai Allah berbanding orang beriman yang lemah”. (Hadis riwayat Imam Muslim).
Setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya memperbaiki kualiti hidup selain menjadi manusia yang kuat. Nikmat kesihatan yang baik saja mampu mengubah nasib serta dapat meraih kehidupan lebih baik. Badan yang sihat adalah untuk terus kekal dapat beribadat kepada Allah dan bukan untuk merompak, menyamun atau meragut.

Peluang sementara badan masih sihat inilah masanya untuk kita memperbaiki diri menjadi lebih baik. Jangan terus leka dan beranggapan usia masih muda dan mempunyai banyak masa kerana kematian itu tidak mengenal usia. Tidak semestinya kematian menjemput kita pada usia tua kelak. Bukan juga bererti, kita perlu melupakan kenikmatan dunia. Kehidupan dunia adalah kurniaan Allah, selagi kita tidak melakukan amalan yang bercanggah dengan agama dan tidak melalaikan, maka ambillah.

Alangkah bagusnya jika seorang yang hebat personalitinya, berkerjaya, berkarisma, berpelajaran tinggi, mantap akhlak dan amalan agamanya. Remaja yang hebat adalah golongan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Bolehkah kita menjadi cemerlang dalam pelajaran dan pada masa sama menjaga akhlak serta pekerti sebagai Muslim?

Marilah kita sama-sama menjaga makan minum kita supaya selaras dengan saranan al-Quran supaya makan minum apa yang halal lagi baik dan meninggalkan apa-apa yang buruk (seperti merokok dan lain-lain). Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba Allah yang mendapat tahmatNYA.

No comments:

Post a Comment