May 27, 2011

Ketenangan Wujud Apabila Makhluk Mengenali Pencipta


ALLAH SWT menciptakan manusia dengan pelbagai keunikan dan dibekalkan pula dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Antara keunikan serta nikmat yang dihajati jasmani ialah cenderung kepada kemewahan dan kesenangan. Namun, keperluan sebenar bagi rohani manusia adalah mengenali dan mendekati penciptaNya.

Keperluan mengenali Allah melebihi dari keperluan makan, minum serta seksual. Tiada kesenangan di dunia dan akhirat kecuali mengenali, mengasihi dan beribadah kepada yang Maha Esa. Ibnu Qayyim menyebut: “Apabila seseorang makhluk mengenali pencipta, maka dia akan mendapat ketenangan yang luar biasa. Mereka akan mendapat kekuatan dengan mengenali sifat Allah dan berasa lebih yakin dengan kekuasaan-Nya.” Manakala Imam Abd Muhsin Muhammad Qasim pula berkata, mereka yang mencapai kemuncak pengabdian kepada Allah adalah mereka yang mengenali semua nama Allah dan sifatNya serta dapat diterjemahkan melalui perbuatan mereka. Ini kerana nama Allah dan sifatNya adalah rangkuman semua sifat kesempurnaan dan kemuliaan. Baginda Nabi SAW dalam ruku’ ketika solat mengungkapkan kata-kata (maksudnya): “Maha suci Tuhan yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan.” (Hadis riwayat Nasai’). Baginda SAW juga sering menyebut dalam doanya: “Maha suci-Mu yang tidak terhitung akan kepujianMu seperti mana Engkau telah memuji akan diri-Mu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim).

Firman Allah pada ayat 56 surah Hud yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada makhluk yang melata (di langit dan bumi) melainkan Dialah yang mengawas-Nya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus”. Oleh itu, jika semua manusia atau makhluk bersepakat untuk memudaratkan antara satu sama lain, nescaya tidak akan berlaku melainkan dengan izin-Nya. Ilmu Allah merangkumi segala apa yang telah berlaku, sedang atau akan berlaku serta segala pergerakan makhluk adalah berada dalam ilmu pengetahuan-Nya. “Apa yang kamu dedahkan atau sembunyikan pada waktu malam dan siang, semuanya di bawah ilmu Allah.” (maksud ayat 10, Surah Ar-Ra’du). Allah juga mendengar segala bisikan suara di mana saja mereka berada. Saidatina Aishah RA berkata: “Segala puji bagi Allah yang mendengar segala bisikan Khaulah Binti Sa’labah kepada Baginda SAW tentang suaminya, lalu turunlah ayat 1 surah al-Mujadalah (bemaksud): “Sesungguhnya Allah mendengar seseorang mengadu mengenai suaminya dan engkau wahai Muhammad mengadu kepada Allah dan Allah mendengar perbualan kamu berdua.”

Perbendaharaan Allah memenuhi ruang langit dan bumi. Sentiasa bersedia untuk memberikan sesuatu kepada hambanya sama ada mereka meminta ataupun tidak. Rahmatnya sentiasa turun pada sepertiga malam lalu berkata: “Siapakah yang memerlukan pertolongan nescaya Aku akan membantu.” Ikan di laut, burung di udara semuanya tiada terkecuali dari mendapat kelebihan daripada rahmat Allah seperti firman yang bermaksud: “Dan tidak ada satu makhluk pun yang melata di bumi melainkan telah tercatat akan rezeki masing-masing.” (Surah Hud, ayat 6). Jika Allah memperkenankan semua doa yang dipohon, ia tidak sekali-kali akan mengurangkan khazanah-Nya sedikitpun. Allah menambahkan lagi bonus pahala bagi yang beramal melakukan kebaikan. Digandakan lagi satu kebajikan kepada sepuluh pahala sehingga tujuh ratus kali ganda. Beribadah pada Lailatul-qadar disamakan dengan beribadah seribu bulan, berpuasa ramadhan diikuti enam hari pada bulan Syawal bersamaan pahala berpuasa setahun dan apa-apa amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas akan digandakan pahalanya sehingga tidak terhitung.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Pada hari kiamat diletakkan langit pada hujung jari-Nya (kekuasaan-Nya), bumi pada jari-Nya, bukit bukau dan tumbuh-tumbuhan diatas satu jari-Nya seraya berkata: Akulah yang maha berkuasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Firman Allah yang bermaksud: “Seandainya pohon di bumi menjadi pena dan lautan menjadi tinta dan ditambah tujuh lautan lagi setelah keringnya nescaya tiada cukup untuk menulis akan nikmat dan kekuasaan Allah.” (Surah Luqman, ayat 27).

Demikianlah tawaran Allah yang sentiasa terbuka kepada hambaNya, betapa pemurah dan penyayang akan pencipta terhadap makhluknya. Moga-moga rentetan kekuasaan Allah sama-sama kita perhatikan supaya kita lebih tawaduk dan merendahkan diri dengan kekuasaan sementara yang diberikan Allah.

May 26, 2011

Melawat Wak Sukim

Pada Rabu malam Khamis 25 Mei 2011, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan telah mengaturkan lawatan ke atas Wak Sukim Sahal yang uzur di rumahnya di Jalan Pakis 13. Dr Karim Pengerusi MIAB, Hj Anuar Ketua biro, Naam SU MIAB, Hj Ahmad Imbar AJK MIAB dan Hj Abd Aziz Manaf bekas AJK telah berkesempatan melawatnya. Keadaan kesihatannya beransur pulih dan tidak membimbangkan. Atas nasihat doktor, beliau dikehendaki banyak berehat.

Kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan, beliau meletakkan jawatan Noja 1 MIAB bermula 1 Jun 2011. Perletakkan jawatan beliau telah dipersetujui dalam mesyuarat MIAB bilangan 3 24 Mei 2011. Seluruh AJK MIAB mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sumbangan beliau selama ini dan berdoa mudahmudahan kesihatannya pulih dan dapat berjemaah di MIAB.

May 25, 2011

Mohon Sumbangan Untuk Hawa Dingin

Pihak kami telah mengambil keputusan untuk memasang penghawa dingin ruang solat utama MIAB. Dianggarkan lapan buah penghawa dingin setiap satunya 2 hp (horse power) diperlukan untu tujuan tersebut. Oleh yang demikian, pihak kami amat mengalu-alukan sumbangan semua pihak sama penjenguk blog ini atau daripada sesiapa saja dermawan yang mengetahui makluman ini. Sumbangan berupa satu set penghawa dingin seeloknya biarnya yang bermuatan 2 hp, dan jika berupa duit kami menerima seikhlas yang hendak disumbangkan.

Dengan pemasangan penghawa dingin ini moga-moga para jemaah yang menggunakan MIAB untuk tujuan beribadat lebih selesa dan bertambah khusuk semasa beribadah, dan seterusnya dapat pula menarik lebih ramai para jemaah datang untuk memakmurkan MIAB.

Sama-samalah panjangkan atau hebahkan kepada rakan-taulan atau dermawan-dermawan yang dikenali. No. Akaun kami CIMB UTM ialah 0118-0000935-057 yang didaftarkan atas nama Jawatankuasa Masjid Intan Abu Bakar

May 23, 2011

Gotong Royong Bersepadu


Program gotong royong bersepadu untuk menghapus dan  menggayang nyamuk aedes telah berlangsung di Taman Sri Pulai pada 22 Mei 2011. Program yang yang dicetuskan oleh KRT Jalan Batai dan Masjid Intan Abu Bakar itu mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Kulaijaya, Soutthern Waste Management (SWM) Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kesemua KRT-KRT  di Taman Sri Pulai (Jalan Meranti, Jalan Ara, Jalan Pakis dan Rotan).

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi MIAB merangkap Timbalan Pengerusi KRT Jalan Batai, Dr Karim Deraman telah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan tersebut kerana telah sama mengambil bahagian.

 Taklimat Gotong Royong oleh Pengarah Majlis, En Masek bin Sulaiman

 Peserta khusuk mendengar taklimat

 
 Pemeriksaan Kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Kulaijaya

 Kaunter Semakan dan Pendaftaran SPR

 Penyampaian cenderahati kepada Wakil Jabatan Kesihatan Kulaijaya

 Penyampaian cenderahati kepada wakil SWM

 Penyampaian Cenderahati oleh Dr Karim Deraman, Pengerusi MIAB
kepada En Fakhrul bin Ramli, Ahli Majlis MPJBT

May 19, 2011

Sumbangan Fidyah Kepada Fakir Miskin 2011

Alhamdulillah, Majlis Penyampaian Fidyah bagi fakir miskin Qaryah MIAB telah selamat dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Johor melalui Pejabat Agama Daerah Kulaijaya pada Isnin 16 Mei 2011 yang lalu. MAjlis yang bermula selepas solat maghrib dengan tazkirah mengenai Waqaf yang disampaikan Tuan Kadhi Daerah, Al-Sheikh Hj Fahmi A Samad. Beliau menjelaskan tentang Konsep Waqaf dan Kepentingannya demi untuk meninggikan syiar Islam. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Hj Zailan Penghulu Kanan Kulaijaya dan En Abas, Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh.

  


Selepas solat isyak, seramai 16 orang fakir miskin telah hadir dan mendapat sumbangan fidyah berupa beras dan sejumlah wang.







Para penerima sumbangan fidyah 2011:
1. Rubiah bt Jibun (19 Jalan Ara 11). 2. Sarkonah bt Mangku (2 Jalan Rotan 2), 3. Indon bt Hj Ibrahim (41 Jalan Pakis 10). 4. Rohmah bt Osman (25 Jalan Pakis 10), 5. Zaiton bt Ali (10 Jalan Batai 8), 6. Jamilah bt Mohd Ali (5 Jalan Batai 13), 7. Rabeah bt Hashim (19 Jalan Batai 5), 8. Lijah bt Manap (8 Jalan Batai 5), 9. Aminah bt Mohamed (14 Jalan Batai 11), 10. Asmah bt Taat (6 Jalan Batai 12), 11.Fatimah bt Nordin (5 Jalan Meranti 13), 12. Zaharah bt Abu Talib (40 Jalan Pakis 9), 13. Siti Ropeah bt Tahar (56 Jalan Pakis 2), 14. Patimah bt Atan (12 Jalan Rotan 8), 15. Hendon bt Md Sum (40 Jalan Pakis 9), 16. Rus bt Suratman (27 Jalan Pakis 10), 17. Sheriff bin Alias (8 Jalan Batai 14) 18. Sulaiman (Jalan Rotan 8), 19. Isteri, Allahyarham Azmi (Jalan Kabong 12?). 


Selepas majlis penyampaian fidyah, para tetamu dijamu dengan makanan tengah malam.

May 17, 2011

Waktu2 Doa Mustajab

Doa bererti memohon atau meminta sesuatu daripada Allah SWT terutamanya dalam hal-hal yang membawa kepada yang baik. Orang-orang Islam dituntut untuk berdoa dan memohon pertolongan hanyasanya kepadaNya malah dicop sebagai orang yang sombong yang bakal dimasukkan ke dalam neraka jika ada insan yang berdoa dan memohon pertolongan tidak kepadaNya. Melalui ayat 60 Surah Al-Mu’min, Allah berfirman (yang bermaksud): “Berdoalah kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”  Allah menjanjikan bahawa doa akan diperkenankan apabila ianya bertepatan dengan syarat-syarat, adab-adab dan masanya. Adakalanya doa insan terus dimakbulkan sepertimana dimohon selepas berdoa dan adakalanya ditunda ke suatu masa tertentu. Kadang kala bentuk perkenan doa tersebut ditukar dalam bentuk lain kerana Dia Maha Mengetahui tentang keadaan hambaNya jika diperkenankan dalam bentuk asal sepertimana dipohon.   
Umumnya kita semua sedia maklum bahawa Allah menghendaki kita sentiasa berdoa kepadaNYa tanpa mengira masa dan dimana saja kita berada. Namun terdapat beberapa panduan dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menerangkan beberapa masa mustajab yang boleh kita amalkan selain masa-masa yang menjadi amalan setiap hari. Diantaranya:

1. Malam (Lailatul) Qadar
‘Aisyah ra pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,  apakah yang harus beliau ucapkan semasa lailatul Qadar? Rasulullah SAW  menjawab: “Ucapkanlah (doa):

« الْعَفْوَ فَاعْفُ عَ نِّي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ ».

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.” (Hadis Riwayat: At-Tirmidzi, Ahmad dan An-Nasa`i)

2. Sepertiga malam yang akhir dan di waktu sahur
Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan salah satu sifat para hamba-Nya yang beriman dalam firman-Nya (ertinya): “Dan pada waktu akhir malam (waktu sahur) mereka memohon ampun.” (Adz-Dzariyat: 18)

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu menyatakan bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda:

« يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ » .

“Rabb kita Yang Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir seraya berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku niscaya Aku mengabulkan doanya. Siapa yang meminta kepada-Ku niscaya Aku berikan apa yang dimintanya. Siapa yang minta ampun kepada-Ku maka aku akan mengampuninya’.” (HR. Ibnu Majah dan Ahmad)

3. Di akhir shalat fardhu
Abu Umamah Al-Bahili RA melaporkan bahawa Sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, apakah doa yang didengarkan (dikabulkan)?” Beliau SAW menjawab:

« جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ »

“Doa yang dipanjatkan dipenghujung malam dan di akhir shalat wajib.” (HR. At-Tirmidzi dan An-Nasa`i).

Ulama berbeza pendapat tentang apa yang dimaksud dengan perkataan ((دُبُرَ)): apakah ianya bermaksud sebelum salam atau selepas salam?

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah bermaksud sebelum atau sesudah salam manakala Ibnu Taimiyyah rahimahullah berpendapat sebelum salam.” Selain itu, Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berpandangan sebelum salam dibaca doa manakala selepas solat adalah berzikir. Pandangannya tentang zikir adalah berdasarkan  kepada firman Allah SWT (Surah An-Nisa’ ayat 103, bererti): “Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau pun berbaring."

Berikut adalah beberapa doa yang boleh dibaca:
1.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka jahanam, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih dajjal.” (HR Muslim).
  
2.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت

“Ya Allah, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan mengemudiankan sesuatu, tiada tuhan sebenar melainkan Engkau.” (HR Muslim).

3.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
 “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosaku  melainkan Engkau, maka ampunilah bagiku dengan keampunan dariapda-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang.” (HR Bukhari dan Muslim).

4. Antara adzan dan iqamah
Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda:

« لاَ يُرَدُّ الدُّعَاءُ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ ».
“Tidak tertolak doa yang dipanjatkan antara adzan dan iqamah.” (HR. Abu Dawud)

5. Satu waktu di malam hari
Jabir RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda:

« إِنَّ فِى اللَّيْلِ لَسَاعَةً لاَ يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ ».

“Sesungguhnya pada malam hari ada satu waktu yang tidaklah bersamaan dengan itu seorang muslim meminta kepada Allah kebaikan dari perkara dunia dan akhirat, melainkan Allah akan mengkabulkan permintaan tersebut, dan itu ada di setiap malam.” (HR. Muslim dan Ahmad), Al-Imam An-Nawawi rahimahullah ketika menjelaskan: “Pada hadits tersebut terkandung adanya penetapan satu waktu mustajab pada setiap malam, dan anjuran untuk berdoa di waktu-waktu malam dengan harapan bertepatan dengan waktu mustajab tersebut.”

6. Ketika terbangun di waktu malam
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Barangsiapa yang terbangun di waktu malam lalu mengucapkan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، لَهُ الْمُلْكُ ، وَلَهُ الْحَمْدُ ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ . الْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِوَلاَ

Kemudian mengucapkan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Atau berdoa, maka dikabulkan (doanya). Dan jika berwudhu’ kemudian melaksanakan shalat maka shalatnya diterima.” (HR. Bukhari)

Sebagian ulama mengatakan: “Dalam keadaan seperti ini lebih diharapkan terkabulkannya doanya, begitu juga diterimanya solat dibandingkan waktu/keadaan yang lainnya.”

7. Ketika berkumandangnya adzan dan dirapatkannya barisan, berhadapan dengan barisan musuh di medan tempur

Sahl bin Sa’d radhiyallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Dua waktu/keadaan yang didalamnya dibukakan pintu-pintu langit dan jarang sekali tertolak doa yang dipanjatkan ketika itu ialah pada masa diserukan panggilan shalat (adzan) dan pada masa sedang berada dalam berjihad di jalan Allah (ketika berhadapan dengan musuh di medan perang).” (HR. Ibnu Hibban dan Al-Baihaqy dalam Al-Kubra)

8. Suatu waktu pada hari Jum’at
Tentang hari Jumaat, Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu melaporkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:

« إِنَّ فِى الْجُمُعَةِ لَسَاعَةً لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ قَائِمٌ يُصَلِّى يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَقَالَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا يُزَهِّدُهَا».

“Sesungguhnya di hari Jum’at itu ada suatu waktu yang tidaklah waktu tersebut bertepatan dengan seorang muslim yang sedang melaksanakan shalat, lalu meminta kepada Allah suatu kebaikan, kecuali pasti Allah akan mengkabulkannya.” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam mengisyaratkan dengan tangannya untuk menunjukkan singkatnya waktu tersebut. (Muttafaqun ‘alaihi)

Ulama berbeza pendapat tentang batasan waktunya. Ada yang mengatakan waktunya adalah pada masa khatib masuk ke masjid. Ada yang mengatakan ketika matahari telah tergelincir, ada yang mengatakan setelah shalat asar, dan ada pula yang mengatakan waktunya dari terbit fajar sampai terbit matahari. Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berpendapat bahwa waktunya setelah solat asar, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya pada hari Jum’at itu ada suatu waktu yang tidaklah seorang hamba muslim memohon suatu kebaikan kepada Allah, kecuali pasti Allah akan mengkabulkannya, dan waktunya adalah setelah solat asar.” (HR. Ahmad)

9. Ketika sujud
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

« أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ ».

“Paling dekatnya seorang hamba dengan Rabbnya adalah ketika ia sedang sujud, maka perbanyakkah doamu ketika sedang sujud.” (HR. Muslim)

10. Doa pada hari Arafah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

« خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ ».

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (HR. At-Tirmidzi dan Al-Baihaqy)
Akhirnya marilah kita sama-sama manafaatkan masa yang dinyatakan diatas. Moga-moga kita memperolehinya. Wallahu a’alam…

Malaikat Maut mengintai kita 70 kali sehari

Allah berfirman (bermaksud): “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya’ ayat 35). Daripada ayat tersebut, Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda (bermaksud) “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.” Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua tapak kakinya sehingga sampai ke lutut. “Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. “Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Selanjutnya, Rasulullah SAW juga menjelaskan dalam hadisnya berkenaan kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis. “Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” Al-Qamah bin Abdullah pula meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Andainya manusia ini mengetahui dan nampak kedatangan malaikat Izrail itu dengan mata, dan betapa dahsyatnya saat nyawa dicabut, nescaya mereka tidak akan mensia-siakan hidup yang mereka lalui, lalai daripada mengingati Allah dan mempersiapkan bekalan untuk menghadapi mati. Kalau hendak diikutkan, siapakah yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan? Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan husnul khatimah (kebajikan). Namun demikian, kerana mereka tidak dapat melihat malaikat Izrail, tidak pernah merasai saat kematian dan memang tidak ada orang yang sudah mati kembali kedunia menceritakan perkara-perkara tersebut, ramai manusia hanya hidup dengan berseronok, berpoya-poya dan bergelomang dengan maksiat dan mungkar. Hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah dilanggar sewenang-wenangnya malah mencemuh golongan yang mengamalkan hukum Allah. Alam barzarkh dan alam akhirat seolah-olah tidak ada dalam kamus kehidupan mereka. Justeru itulah masih ada lagi amalan-amalan mazmumah (tercela) seperti rasuah-merasuah, tipu-menipu, fitnah-menfitnah dan sebagainya dalam masyarakat kita hari ini. Marilah kita sama-sama tinggalkan apa-apa perkara mungkar dan ditegah, dan seterusnya pula melakanakan setiap apa yang disuruh oleh Baginda Rasulullah SAW.