Allah berfirman (bermaksud): “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya’ ayat 35). Daripada ayat tersebut, Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda (bermaksud) “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.” Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua tapak kakinya sehingga sampai ke lutut. “Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. “Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Selanjutnya, Rasulullah SAW juga menjelaskan dalam hadisnya berkenaan kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis. “Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” Al-Qamah bin Abdullah pula meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Andainya manusia ini mengetahui dan nampak kedatangan malaikat Izrail itu dengan mata, dan betapa dahsyatnya saat nyawa dicabut, nescaya mereka tidak akan mensia-siakan hidup yang mereka lalui, lalai daripada mengingati Allah dan mempersiapkan bekalan untuk menghadapi mati. Kalau hendak diikutkan, siapakah yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan? Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan husnul khatimah (kebajikan). Namun demikian, kerana mereka tidak dapat melihat malaikat Izrail, tidak pernah merasai saat kematian dan memang tidak ada orang yang sudah mati kembali kedunia menceritakan perkara-perkara tersebut, ramai manusia hanya hidup dengan berseronok, berpoya-poya dan bergelomang dengan maksiat dan mungkar. Hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah dilanggar sewenang-wenangnya malah mencemuh golongan yang mengamalkan hukum Allah. Alam barzarkh dan alam akhirat seolah-olah tidak ada dalam kamus kehidupan mereka. Justeru itulah masih ada lagi amalan-amalan mazmumah (tercela) seperti rasuah-merasuah, tipu-menipu, fitnah-menfitnah dan sebagainya dalam masyarakat kita hari ini. Marilah kita sama-sama tinggalkan apa-apa perkara mungkar dan ditegah, dan seterusnya pula melakanakan setiap apa yang disuruh oleh Baginda Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment