August 31, 2011

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat hari raya kepada semua ahli kariah dan semua penjengok blog ini. Saya memohon maaf jika kedapatan salah faham, salah laku atau kelemahan sama ada yang sengaja mahu pun tidak disengajakan semasa mengendalikan MIAB dan semasa bermuamalah dengan semua. Anggaplah bahawa teguran yang kami buat adalah semata-mata untuk kebaikan semua pihak yang memakmur dan menggunakan masjid kita.

Syukurlah kita kepada Allah kerana telah memberikan nafas untuk kita telah selamat menjalani madrasah ramadhan bagi tahun 1432H ini. Selama sebulan kita telah melaksanakan segala ibadat sama ada wajib mahu pun sunat dengan jayanya. Kita berjemaah lima waktu di masjid, berpuasa ramadhan, solat sunat tarawih, solat malam, solat witir, bacaan dan khatam sebuah al-quran, bersedekah semaksimumnya dan sebagainya.

Pendek kata sebulan ramadhan kita sanggup melaksanakan itu semua demi mematuhi dan melaksanakan perintah dan suruhan Allah. Persoalannya, mampukah kita jelmakan suasana tersebut selepas ramadhan ini? Kalau kita beramal kerana ramadhan semata-mata, insaflah bahawa ramadhan telah berlalu. Kalau kita beramal kerana sesuatu yang bersifat makhluk, ingatlah bahawa makhluk itu akan binasa. Tetapi yang kekal dan akan mengekalkan amalan-amalan tersebut apabila kita beribadat KERANA ALLAH. Oleh itu, marilah kita memperbetulkan niat kita jika kedapatan nawaitu ibadat kita yang kurang menepati natijah kedatangan ramadhan yang telah pun berlalu.

Marilah kita sama-sama jelmakan semangat ramadhan yang kita telah lalui itu untuk bulan-bulan mendatang. Kita penuhi segala aktiviti wajib mahu pun sunat serta pelbagai aktiviti yang bakal kita laksanakan di masjid kita. Moga-moga kita sama-sama menjadi insan taqwa seperti mana yang dikehendaki oleh puasa ramadhan tahun ini....

No comments:

Post a Comment