May 26, 2012

KULIAH MAGHRIB DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

Alhamdulillah, kuliah maghrib 26 Mei 2012 di MIAB telah disampaikan Tuan Guru Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri bertajuk Hamba Allah Yang Dirindui Syurga.




 

 

May 22, 2012

KULIAH SUBUH USTAZ SUBKI ABDUL RAHMAN

Ustaz Subki Abdul Rahman, penulis buku Ensiklopidia Bidaah telah berkunjung ke MIAB dan telah menyampaikan kuliah subuhnya pada 19 Mei 2012 lalu. Beliau telah menyentuh beberapa perkara yang dikatakan bidaah dholalah oleh sesetengah pihak. Baginya, jika amalan yang dilakukan yang tidak bercanggah dengan al-quran, sunnah Nabui SAW, ijmak ulamak dan qias, maka ianya tidak boleh dikatakan bidaah dholalah. Selagi amalan yang dilakukan mengikuti Maqasid Syariah maka ianya boleh diamalkan.

Ustaz Subki telah membawa beberapa hujah/dalil yang berlaku semasa Nabi SAW hidup dan selepas Nabi wafat.

Dalam satu mimpi ketika menziarahi syurga Nabi SAW mendengar bunyi terompah/kasut Saidina Bilal  bin Rabah RA. Lalu keesokannya NAbi SAW bertanyakan apakah amalan yang membolehkan beliau menghuni syurga? Saidina Bilal RA menyatakan ada dua amalan yang beliau lakukan. Pertamanya beliau sentiasa mengekalkan dalam keadaan berwudhuk. Apabila batal wudhuk beliau terus mengambil wudhuk. Keduanya, beliau sentiasa menunaikan solat wudhuk selepas berwudhuk. Amalan tersebut tidak  diarahkan oleh Nabi SAW dan ianya amalan baru yang dilakukan Saidina Bilal RA berdasarkan ijtihadnya. Menurut Ustaz Subki, amalan tersebut boleh dikatakan bidaah yang dikenali sebagai bidaah hasanah dan Nabi SAW perakukannya.

Selepas Nabi wafat, Saidina Othman RA pernah mengubah khutbah hari raya yang lazim dilakukan oleh Nabi SAW dan kelaziman yang semua umat Islam amalkan, iaitu solat hari raya dan diikuti dengan khutbah hari raya. Saidina Othman RA mengubah dengan melaksanakan khutbah dahulu dan diikuti dengan solat sunat hari raya. Amalan tersebut bolehlah dikatakan amalan baru yang diada-adakan oleh Saidina Othman RA. Apabila ditanya kepada Saidina Othman RA, beliau menjelaskan ianya satu maslahah ummah kerana diwaktunya umat Islam bertambah ramai dan perlukan masa supaya umat Islam dapat datang solat sunat hari raya apabila solat hari raya dikemudiankan.

AlHafiz Ibnu Hajar As-Qalani ulama kurun ke-7 yang mengarang Fathul Bari (kitab yang mensyarah Hadis Sahih Bukhari dan Muslim) memulakan majlis dengan bacaan Suratul A'ala, selawat kepada Nabi dan berdoa sebelum memulakan majlis atau ceramah beliau sedangkan kebiasaanya dimulakan majlis ilmu dengan fatihah. Jadi beliau melakukan 3 perkara bidaah. Bila ditanya kepada Ibnu Hajar As-Qalani, beliau mengatakan amalan tersebut beliau mendapatinya daripada guru beliau Zainudin al-Iraqi. Bila diselidiki, maksud surah al-A'ala sesuai kerana Jibrail baca quran kepada Nabi SAW terus mengingatinya sampai bila-bila. Jadi, kata Ibu Hajar mudah-mudahan ilmu yang belajar lebih mudah diingati dan beliau sendiri mudah mengajar. Dengan itu, tak seharusnya kita mengatakan bidaah dhalalah.

May 13, 2012

KULIAH TAHSIN AL-QURAN KEPADA IMAM DAN BILAL

Pejabat Agama Daerah Kulaijaya telah dan akan mengadakan beberapa siri kelas tahsin al-quran kepada imam dan bilal bagi masjid dan surau daerah berkenaan. Buat permulaannya, Masjid Intan Abu Bakar Taman Sri Pulai telah dipilih untuk tujuan tersebut (Rabu 9 Mei 2012).

Menurut Hj Hasan Mohamad, Penyelaras Masjid dan Surau daerah Kulaijaya, beberapa buah masjid dan surau telah dikenal pasti untuk menjadi tuan rumah atau tempat mengadakan kelas tahsin pada tahun ini. Pada 15 Mei ini, Surau At-Taqwa, Rumah Awam Kulai sebagai tuan rumah, diikuti dengan Masjid Oil Palm, Kelapa Sawit (22 Mei 2012), Masjid An-Najah, Kampung Murni Jaya (29 Mei 2012) dan terakhirnya Masjid kampung Melayu, Bukit Batu (2 Jun 2012).

Buat julung kalinya ini, Imam dan bilal sekitar kariah Masjid Intan Abu Bakar seperti Masjid Kampung Melayu Ulu Choh, Surau Kg Bahagia Ulu Choh, Surau bandar Baru Kangkar Pulai, Surau Taman Bestari, Surau Taman Pulai Emas, Surau Taman Pulai Jaya 1, Surau Taman Pulai Jaya 2 dan Taman Teratai telah dijemput hadir. Meskipun demikian, tidak ramai mereka yang dijemput dapat menghadirinya.

May 6, 2012

KULIAH TALAQI DR ABDUL BASIT ABDUL RAHMAN

Alhamdulillah, selepas solat isyak Ahad 6 Mei 2012, Dr Abdul Basit Abdul Rahman telah mengadakan Kuliah Talaqinya membincangkan bukunya yang bertajuk Keindahan Islam. Kuliah tersebut merupakan siri terakhirnya yang bermula 5 Mei lalu di beberapa masjid dan surau sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulaijaya.

Dr Abdul Basit adalah Penasihat kepada Sekolah Pondok peninggalan ayahnya, Tuan Guru Hj Abdul Rahman Sungai Durian, Kelantanmerupakan penceramah Rancangan Tanyalah TV9 telah menghuraikan sifat-sifat yang mesti dimiliki oleh orang mukmin.  Katanya lagi "Ummat Islam seharusnya meninggalkan amalan-amalan khurafat jahiliah peninggalan nenek moyang kita yang lalu, umpamanya santau dan sihir." Mereka juga diingatkan supaya menjauhi perasaan dengki-mendengki sesama orang Islam, fitnah-menfitnah dan sebagainya. Punca-punca yang boleh menyebabkan umat Islam berpecah hendaklah dijauhi.

Pelbagai golongan, jauh dan dekat datang untuk mendengar kupasan buku tersebut.


 




May 4, 2012

MEN'TAHNIK'KAN TIGA ORANG KANAK-KANAK DI MASJID

Majlis mentahnikkan tiga orang kanak-kanak telah berlangsung di MIAB selepas solat isyak Rabu 2 Mei lalu. Kanak-kanak perempuan tersebut adalah Qistina Izzati binti Hisyamudin, Nur Harisyah kaisarah binti Md Syaifuddin dan Nur Amna Amani binti Md Aizuddin.

Upacara tahnik atau dikenali juga sebagai "belah mulut" kanak-kanak baru lahir disempurnakan oleh Ustaz Rifki Myidin.

Alhamdulillah, majlis yang diadakan sempena dengan khatamnya tafsir surah al-Insan yang disampaikan Ustaz Rifki selepas solat maghrib telah mendapat perhatian semua ahli jemaah. Mereka  sama-sama mengambil bahagian menjayakan majlis tersebut.

Di akhir majlis, semua ahli jemaah dijamu dengan makan malam yang disumbangkan ketiga-tiga keluarga kanak-kanak terlibat.

Pihak MIAB saya mengalu-alukan sebarang ibu bapa yang ingin melaksanakan upacara seumpama ini. Marilah kita hidupkan kembali antara amalan sunnah yang ramai diantara kita tidak melaksanakannya.